Sudah hampir setahun sejak sukarelawan Amal Valley mula diamanahkan untuk menguruskan jenazah Islam COVID-19…
Kami tetap cekal mengharung cabaran bagi pengurusan jenazah Islam COVID-19 yang semakin meningkat kian hari…
Sedikit perkongsian yang ingin kami utarakan sebagai memudahcara pengurusan jenazah Islam COVID-19 untuk renungan bersama…
(a) PENGGUNAAN TANAH KUBUR UNTUK JENAZAH YANG BUKAN KARIAH
Kami harap dan mohon supaya pengebumian jenazah Islam COVID-19 ini dibuka juga kepada jenazah yang bukan di dalam kariah mereka.
Hal ini kerana, ada jenazah menghembuskan nafas akhir mereka di hospital-hospital yang khas untuk kes-kes COVID-19, dimana mereka bukan orang lokal dikawasan itu. Halangan dan limitasi pengurusan tanah kubur yang hanya mengehadkan tanah kubur mereka kepada HANYA AHLI KARIAH, bukan sahaja merencat kewajipan mengurus jenazah dengan cepat dan efisyen, malah mungkin menimbulkan persepsi yang kurang enak dan mampu manambah risiko bahaya kepada komuniti sekiranya jenazah pandemik ini perlu bergerak terlalu jauh daripada kawasan akhir mereka…permudahkanlah…
(b) PENGGUNAAN TANAH KUBUR DI LUAR WAKTU PEJABAT
Kami juga berharap supaya SOP waktu operasi tanah kubur dilonggar & dilanjutkan sehingga lewat tengah malam. Peningkatan kes kematian COVID-19 yang semakin mendadak telah menjadi penyumbang utama kepada fasiliti kebuk sejuk jenazah yang terhad. Bilangan jenazah yang terlalu banyak dan lambat diuruskan akan mewujudkan satu keadaan luar kawalan yang boleh melumpuhkan sistem pengurusan kematian kita. Hanya masa operasi sahaja yang kami minta untuk dipinda…inshaAllah…para sukarelawan rela menggadai masa tidur mereka untuk penghormatan akhir kepada jenazah ini…permudahkanlah…
(c) SARANAN KAWALAN HARGA SILING BAGI PENGURUSAN JENAZAH COVID-19
Rentetan kerisauan ekoran kemudahjangkitan wabak ini, ada antara tanah kubur yang mengenakan caj berganda bagi pengurusan jenazah Islam COVID-19. Kami fahami bahawa sememangnya ada kos-kos kewangan yang terlibat, ada tenaga yang harus dibayar, ada PPE yang harus dibeli. Kawalan harga perlu ada supaya waris tidak merasa terbeban dan bersiap sedia dengan implikasi kos yang wujud. Untuk makluman, pihak AMAL VALLEY ORGANIZATION tidak mengenakan caj untuk pengurusan jenazah. Kami angkat kewajipan fardu kifayah ini dengan mengkoordinasikan sepenuhnya dana awam dan sumbangan orang ramai untuk meringankan beban waris yang masih hidup di dunia ini…permudahkanlah…
(d) SARANAN KAWALAN HARGA BAGI TANAH KUBUR JENAZAH COVID-19
Kami juga mohon supaya kos ini dilihat semula oleh pihak berwajib. Ada tanah yang telah sedia diwakaf, namun masih dicaj dgn agak tinggi . Kita tahu ada kos pengurusan, bukan hendak percuma tapi MINIMA….permudahkanlah…
(e) PETUGAS TANAH KUBUR
Kami merayu supaya disediakan juga petugas yang mencukupi untuk urusan penggalian dan kambus semula tanah kubur yang terlibat. Para petugas sukarelawan sudah lelah diasah dengan pemakaian PPE yang melemaskan, ditambah pula dengan kerja-kerja penggalian, SAMBIL MEMAKAI PPE ! permudahkanlah…
Akhir kata,
Kita semua hanya mahukan yang terbaik, sebagai penghormatan terakhir kepada jenazah sebelum menuju ke lembah abadi…
Kami terpaksa akur dengan SOP-SOP yang saling berbeza bagi setiap pengurusan di lokaliti berbeza, faham atas keperluan dan perbincangan ahli kariah…
Kami akur…menangis air mata ini hanya mengharap ganjaran pahala yang berterusan untuk Fardu Kifayah ini…
Kami hanya berkongsi…
Cuma berharap agar perkara-perkara ini diperhalusi.
Dan rakyat Malaysia cakna dengan isu-isu sekeliling kita…
Terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memberi sokongan kepada kerja-kerja sukarelawan NGO.
Terima kasih penyumbang dan semua rakyat Malaysia….
Permudahkanlah…
Coretan dari rasa hati sukarelawan,
sebelum melangkah ke lembah abadi…